Selasa, 29 Mac 2011

CUEPACS CADANG SISTEM GAJI SEBARIS

PUTRAJAYA 24 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan Sistem Gaji Sebaris diperkenalkan dalam kajian semula terhadap Sistem Saraan Malaysia (SSM), supaya penjawat awam lebih produktif dalam menunaikan tugas mereka.
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya juga mencadangkan kepada kerajaan agar kenaikan pangkat dan gaji penjawat awam mengambil kira penglibatan mereka dalam aktiviti luar seperti kesukarelaan, kemasyarakatan dan sukan.
Beliau berkata, perkara itu akan dikemukakan dalam pertemuan antara pihaknya dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 4 April.
"Kita menyambut baik langkah kerajaan untuk mengkaji semula Sistem Saraan Malaysia yang kini pun masih banyak dipertikaikan.
"Pada peringkat awal, ini antara cadangan yang akan dikemukakan oleh Cuepacs kepada kerajaan untuk kajian semula terhadap SSM,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. - Bernama

KEBAJIKAN PENJAWAT AWAM DIJAGA

Utusan Malalaysia
23/3/2011
Oleh ZULKIFLI JALIL, THOMAS CHONG
dan NAZMIL NASIRUDDIN
pengarang@utusan.com.my
NAJIB Tun Razak bersama Muhyiddin Yassin serta Mohd. Sidek Hassan (kiri) memegang buku Perkhidmatan Awam selepas melancarkannya pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA X11) di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya, semalam. – Utusan/HANAFI KHAMIS




PUTRAJAYA 22 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan lagi beberapa khabar gembira untuk meningkatkan motivasi dan melahirkan penjawat awam yang berdaya saing.
Ia dimaklumkan Perdana Menteri ketika menyampaikan ucapan bertajuk “Kerajaan Bertanggungjawab: Menunai Janji, Melangkau Jangkaan” di hadapan 5,747 penjawat awam yang menghadiri Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) di sini.
Turut mendengar pengumuman tersebut ialah masing-masing 300 dan 270 penjawat awam yang menghadiri sidang video dengan Perdana Menteri di Wisma Bapa Malaysia di Sarawak dan Auditorium Intan di Sabah.
Berikut perkara yang diumumkan Perdana Menteri:
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, pesara skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara pada umur wajib atau di bawah Seksyen 6A(6) Akta 227/239 termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan percuma.
Pelaksanaan pemanjangan rawatan perubatan percuma kepada pesara skim KWSP ini hanya diberi kepada anggota perkhidmatan awam di bawah skim KWSP yang telah di bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan. Bagaimanapun, ia tidak merangkumi mereka yang meletak jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.
n Berkuat kuasa mulai tarikh semasa, ganjaran akan dibayar 100 peratus kepada anggota sektor awam yang bersara pilihan di bawah pilihan skim pencen sekali gus memansuhkan penangguhan bayaran sebahagian ganjaran sebelum ini.
n Kajian semula sistem saraan sedang dijalankan bagi mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih produktif, berinovasi, kreatif dan berprestasi tinggi.
n Kerajaan akan memperkenalkan anugerah khas kepada penjawat awam yang aktif dalam aktiviti kesukarelaan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan selain menunjukkan mutu kerja yang tinggi. Untuk itu, tahap prestasi kerja dan penglibatan aktif dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan tersebut.
n Pegawai-pegawai awam di peringkat pertengahan yang berpotensi tinggi akan dihantar untuk mengikuti kursus-kursus terpilih bagi menyediakan mereka dengan kemahiran kepimpinan. Pada masa sama, kemajuan kerjaya dan peluang-peluang kenaikan pangkat Kumpulan Pelaksana akan diperluaskan kepada pegawai yang telah berjaya memiliki kelayakan yang tinggi.
n Kajian terperinci akan dilaksanakan untuk merasionalisasikan perkhidmatan awam bertujuan mengurangkan lebihan anggota melalui penjajaran semula fungsi agensi yang bertindih, pengawalan pengisian jawatan kosong dan pengagihan semula perjawatan.
n Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) digantikan dengan penilaian baru yang lebih memfokus kepada elemen pembangunan kompetensi berasaskan gred dan jawatan serta mengambil kira keunikan pelbagai skim perkhidmatan. Untuk memastikan ia relevan, ketua perkhidmatan atau ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
n Jawatankuasa penilai pemantauan prestasi akan ditubuhkan bagi memastikan pegawai kerajaan terlibat dalam sistem pool tidak teraniaya di mana elemen keadilan dan penilaian bebas akan diamalkan.
n Bagi pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi, satu kaedah exit policy akan diwujudkan di bawah Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia untuk menamatkan perkhidmatan tersebut.

Sabtu, 19 Mac 2011

PENJAWAT AWAM DINASIHAT TIDAK GHAIRAH MOHON PINJAMAN

Utusan Malaysia
17/3/2011



MELAKA 16 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menasihatkan kakitangan awam supaya tidak ghairah membuat pinjaman khususnya yang mudah ditawarkan oleh koperasi dan institusi kewangan bagi mengelak terjebak dalam senarai muflis.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, jumlah penjawat awam yang disenarai muflis pada tahun lalu iaitu kira-kira 2,000 orang adalah amat membimbangkan.
''Jadi, sekiranya tidak terdesak, mereka ini dinasihatkan jangan terlalu mudah membuat pinjaman sehingga boleh bankrap.
''Penjawat awam amat mudah ditawarkan pelbagai pinjaman dan senang menjadi penjamin kepada peminjam lain,'' katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan seminar Alternatif Penilaian Tahap Kompetensi (PTK) anjuran CUEPACS Bahagian Negeri di sini hari ini.
Seramai 120 kakitangan awam di negeri ini menyertai seminar tersebut yang turut dihadiri Pengerusi CUEPACS Bahagian Negeri Melaka, Md. Salleh Majid.
Omar menegaskan, kakitangan awam perlu lebih berhati-hati dan mengambil kira pendapatan mereka sebelum membuat keputusan memohon pinjaman atau menjadi penjamin.
Pada 2009, katanya, seramai 1,089 penjawat awam yang bergaji sederhana diisytihar muflis dan 72 peratus daripadanya ialah lelaki.
''Kita bimbang masalah seperti ini akan mengganggu prestasi pekerjaan mereka," katanya.
Sementara itu, katanya, CUEPACS akan mengumpul data maklumat melakukan penambahbaikan di setiap bahagian negeri sebelum dibawa ke peringkat kongres kebangsaan 2 April ini.
''Kita sedang mengemas kini setiap cadangan untuk dibawakan ke pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
''Antara yang diperhalusi adalah penyelarasan gaji untuk kakitangan berpendapatan sederhana bagi mengimbangi kenaikan harga pelbagai barangan ketika ini," katanya.
Selain itu kata Omar, aspek lain yang turut dipertimbangkan adalah semakan semula gred dan tangga gaji kakitangan kerajaan agar disesuaikan mengikut pangkat dan kelayakan semasa kakitangan.

CUEPACS MINTA KERAJAAN SELARAS GAJI DENGAN KENAIKAN HARGA BARANG

MELAKA, 15 Mac — Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) akan meminta kerajaan supaya membuat pelarasan kenaikan gaji berikutan kenaikan harga barang yang dilihat telah menjejaskan penjawat awam bergaji rendah.
Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata kali terakhir pelarasan dibuat ialah empat tahun lepas.
“Kita mendapat keluhan dari kakitangan awam yang berpendapatan sederhana dan rendah yang bergaji RM3,500 ke bawah. Semasa kita minta kenaikan selepas 1 Julai 2007, harga barang OK tetapi selepas kenaikan gaji, harga naik mendadak 100 peratus.
“Ini yang kita nak seimbangkan semula penyelarasan berdasarkan kenaikan harga barang semasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan bengkel Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) Alternatif, di sini hari ini.
Beliau berkata perkara tersebut akan dibincang oleh Cuepacs bulan depan.
“Kita dah maklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) tetapi secara tidak rasmi,” tambahnya.
Omar memberitahu terdapat penjawat awam sekarang terpaksa membuat kerja sampingan bagi menambahkan pendapatan.
“Kita tak mahu penjawat awam memikirkan sangat kerja sampingan supaya mereka dapat memberi tumpuan kepada kerja hakiki dan supaya nak mengelakkan perkara yang tidak diingini yang akan menjejaskan kerja mereka,” katanya.
Beliau juga menyedari bahawa apabila berlaku pelarasan gaji, maka peniaga akan mengambil kesempatan daripadanya dengan serta merta menaikkan harga barang.
Dalam perkembangan lain, beliau berharap JPA dapat menyemak semula seramai 30 peratus kakitangan kerajaan dari gred 1 hingga gred 40 yang telah mencapai gaji maksimum, supaya dapat dinaikkan gred mereka kepada gred yang baru mengikut kelayakan mereka yang lebih sesuai.
“Ini supaya kita nak elakkan ramai kakitangan kerajaan duduk di tangga gaji yang maksimum. Bila gaji dah maksimum secara tidak langsung prestasi dan produktiviti mereka akan mula terjejas kerana gaji mereka sudah mati (sampai had),” katanya.
Beliau berkata di bawah sistem penilaian baru kelak yang menggantikan PTK, fokusnya ialah untuk membanyakkan peluang kenaikan pangkat di samping memansuhkan sistem gaji tiga lapis seperti yang ada sekarang iaitu P1, P2 dan P3 di bawah Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berjalan selama lapan tahun.
“Kita mahu sistem gaji satu baris tanpa maksimum. Selagi dia (penjawat awam) berkhidmat, selagi itu gaji dia boleh naik. Baru boleh motivasi diri mereka untuk kerja kuat,” katanya.
Mengenai kes bankrap di kalangan penjawat awam, Omar berkata sehingga tahun lepas hampir 3,000 orang terlibat dengan kes bankrap yang kebanyakannya kerana membuat pinjaman kenderaan.
“Ramai penjawat awam terlalu mudah mendapatkan pinjaman apabila disogokkan oleh pihak tertentu tanpa perlu membayar deposit. Sepatutnya ia tidak berlaku,” katanya. — Bernama

Rabu, 16 Mac 2011

TUGAS HAKIKI, KOMPETENSI, DAN KPI ANTARA ELEMEN DALAM SISTEM PENILAIAN BARU -JPA

Bernama
14/3/2011



KUCHING, 14 Mac (Bernama) -- Sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) mulai 1 Julai ini akan menilai semua penjawat awam berdasarkan jenis perkhidmatan dan tugas hakiki masing-masing.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata di bawah format baru itu, calon juga akan dinilai berdasarkan kompetensi dan elemen Petunjuk Prestasi Utama (KPI) individu berkenaan.

"Sistem penilaian baru ini tidak seperti konsep 'seragam untuk semua' yang digubal serta digunakan oleh semua jabatan sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Anggota Perkhidmatan Awam dan Negeri Sarawak, di sini, Isnin.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang dalam peringkat pengolahan format baru itu dengan mendapatkan input dan maklum balas dari Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Katanya proses menggubal format baru itu sedang berjalan lancar dan yakin kaedah baru penilaian penjawat awam dapat dilaksanakan dengan lebih teratur mulai 1 Julai ini.

"Sejajar dengan usaha kerajaan mentransformasikan perkhidmatan awam, kami perlu mengenali struktur kompleks perkhidmatan awam. Kita perlu semua jenis pendekatan bagi menyesuaikan keunikan perkhidmatan yang sedia ada," katanya.

Perjumpaan itu dihadiri oleh lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan dan badan berkanun peringkat persekutuan dan negeri.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohammad Morshidi Abdul Ghani dan Setiausaha Persekutuan Sarawak Datuk Yahaya Basimin.

Ujian PTK, yang diperkenalkan dalam Sistem Saraan Malaysia (SSM) mulai 1 Nov 2002, mengundang pelbagai kontroversi dan persoalan kerana dikatakan ramai penjawat awam yang berpengalaman sukar menikmati kenaikan pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober lepas, mengumumkan pemansuhan PTK dan digantikan dengan sistem penilaian baru yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam.



-- BERNAMA

Isnin, 14 Mac 2011

USAHA CUEPACS SEMAI SIKAP POSITIF DI KALANGAN PENJAWAT AWAN BERHASIL

KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Cuepacs sedang meningkatkan usaha bagi menyemai sikap positif di kalangan 1.2 juta penjawat awam di negara ini untuk menyediakan tahap perkhidmatan yang tinggi dalam memenuhi harapan dan keperluan orang ramai.

Setiausaha Agungnya Lok Yim Pheng berkata setakat ini usaha itu berhasil seperti yang digambarkan dengan meningkatnya sistem penyampaian terutama dalam jabatan yang berhubung terus dengan orang awam.

Sebagai contoh, beliau berkata pengeluaran pasport antarabangsa yang sebelum ini mengambil masa seminggu kini boleh diperolehi dalam masa dua jam.

Begitu juga, sebelum ini orang ramai terpaksa beratur panjang di kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, kini ia dapat dilakukan cuma dalam masa beberapa minit.

"Sebenarnya, untuk membaharui lesen dan pembayaran bil utiliti, ia telah pun dijalankan secara berkomputer dan orang boleh melakukan transaksi pada bila-bila masa dengan selesa di rumah," katanya kepada Bernama di sini.

Lok berkata penjawat awam memainkan peranan penting dalam pentadbiran negara dan oleh itu mereka perlu mengikuti perkembangan terkini.

Beliau berkata program transformasi kerajaan merupakan satu cabaran kepada penjawat awam kerana mereka perlu menggunapakai kaedah dan kemahiran yang baru untuk menjalankan tugas mereka.

"Bagi pihak kita, kami akan terus menggalakkan penjawat awam memberikan khidmat terbaik tapi berharap ini dapat dipadankan dengan galakan yang sama daripada kerajaan," katanya.

Beliau berkata selain imbuhan kewangan, penjawat awam juga mahu usaha mereka diiktiraf dan dihargai.

Lok juga bersetuju dengan nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada penjawat awam supaya mereka berasa bangga dalam menjalankan tugas mereka.

Beliau juga meminta kerajaan supaya menyediakan lebih banyak kemudahan latihan untuk penjawat awam meningkatkan diri dan mendapat kedudukan lebih baik dalam perkhidmatan.

-- BERNAMA

Ahad, 13 Mac 2011

1,086 PENJAWAT AWAM MUFLIS

Berita Harian
Oleh Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/03/03

Kakitangan diisytihar bankrap tak boleh terima pencen, ganjaran

PUTRAJAYA: Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan 1,086 penjawat awam diisytiharkan muflis pada 2009 dan 72.74 peratus atau 790 adalah lelaki.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong, berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan prestasi mereka sehingga memaksa tindakan tatatertib dikenakan terhadap kakitangan terbabit.
“Penjawat awam nadi penggerak dalam memastikan hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi dan maju menjelang 2020 dapat dicapai.

“Saya harap taklimat mengenai muflis oleh jabatan terbabit mampu memberi pendedahan kepada kakitangan awam mengenai kaedah terbaik untuk menangani pelbagai isu berkaitan hutang dan muflis," katanya ketika merasmikan taklimat Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010, Akta Kebankrapan 1967 dan Akta Bantuan 1971 guaman kepada ahli Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, semalam.

Taklimat berkenaan anjuran bersama CUEPACS dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Sementara itu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman meminta penjawat awam memantau perbelanjaan bulanan masing-masing, selain memastikan tidak membuat pinjaman keterlaluan, bagi mengelak dikenakan perintah muflis oleh mahkamah.
Katanya, perintah muflis boleh menyebabkan mereka kehilangan hak untuk menikmati faedah pencen dan ganjaran lain, sehinggalah perintah itu ditarik balik oleh mahkamah terbabit.

“Kes penjawat awam diisytiharkan muflis boleh dielakkan jika mereka bijak menguruskan kewangan masing-masing.

“Bagaimanapun, kita tidak menolak kemungkinan status bankrap itu diberikan atas kapasiti penjawat awam sebagai penjamin kerana jika peminjam gagal menjelaskan pinjaman, penjawat awam yang memang `laku' sebagai penjamin akan dikenakan perintah bankrap oleh mahkamah," katanya.

Mengikut Akta Pencen 1980, mana-mana penjawat awam tidak boleh menerima pencen, ganjaran dan lain-lain faedah pada tarikh ia bersara daripada perkhidmatan awam jika dihukum bankrap atau diisytiharkan tidak berkemampuan oleh mahkamah sama ada di Malaysia atau lain-lain negara, sehinggalah mereka mendapat pelepasan daripada hukuman itu.

Akta berkenaan juga menetapkan pencen, ganjaran dan lain-lain faedah yang dinikmati selepas bersara juga akan terhenti jika mereka dihukum bankrap oleh mahkamah Malaysia atau lain-lain negara.

Mengulas mengenai taklimat itu, Omar berkata, ia bertujuan memberi pendedahan kepada pemimpin CUEPACS mengenai ketiga-tiga akta berkenaan berikutan pihaknya ada menerima pertanyaan pelbagai isu membabitkan akta terbabit.

“Taklimat hari ini adalah bagi pemimpin CUEPACS di sekitar Lembah Klang dan sesi yang sama akan diadakan secara berperingkat di setiap zon iaitu utara, selatan dan pantai timur tidak lama lagi, " katanya.